• bannerschool

Selamat Datang ke Pusat Kualiti USM

  • bannerschool

Universiti Sains Malaysia telah dianugerahkan Status Swaakreditasi (Self-Accreditation) pada 29 April 2010 selepas penilaian oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) melalui Audit Prestasi Akademik (APA)/ Swaakreditasi/ Audit Institusi pada 8-12 Mac 2010. Audit Institusi ini merupakan audit luaran yang dijalankan oleh Panel Auditor MQA yang menilai laporan kendiri (self-review report) dan melawat insitusi bagi menentusahkan maklumat yang telah dikemukakan oleh Pemberi Pendidikan Tinggi (Higher Education Provider, HEP), dan seterusnya mengemukakan laporan akhir kepada MQA.

Seterusnya...

FAQs

Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) merupakan agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang telah ditubuhkan pada 1 November 2007 dengan berkuatkuasanya Akta Agensi Kelayakan Malaysia (Akta 679).

MQA merupakan agensi baru yang ditubuhkan dengan penggabungan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) yang mengawal kualiti program pengajian di IPTS dengan Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi yang mengendalikan penilaian jaminan kualiti program di IPTA sebelum ini. Penubuhan MQA menjadikan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi Malaysia terletak di bawah satu agensi tunggal yang tidak membezakan semua IPT. MQA juga adalah pemegang amanah Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) yang merupakan ’perlembagaan’ pengajian tinggi negara.

Penubuhan MQA menjadikan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi Malaysia terletak di bawah satu agensi tunggal yang tidak membezakan semua IPT yang terdiri daripada IPTA, IPTS, Politeknik, Kolej Komuniti, dan IPT di bawah kementerian lain. Di bawah LAN dahulu, skop penilaian jaminan kualiti hanya tertumpu kepada IPTS sahaja.

Penubuhan MQA juga adalah atas rasional untuk mewujudkan dan melaksanakan perkara utama yang menjadi ciri penting menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai reputasi baik dalam pendidikan tinggi iaitu :

a.   Menubuhkan sebuah badan jaminan kualiti yang seragam, adil dan telus (MQA)

b.   Membangunkan Kerangka Kelayakan Kebangsaan sebagai rujukan semua kelayakan (MQF)

c.   Mewujudkan pusat maklumat yang sahih dan dipercayai (Malaysian Qualifications Register, MQR).

Secara amnya, MQA masih menjalankan fungsi LAN sebelum ini khususnya dalam menjamin kualiti pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, MQA juga menjalankan pelbagai fungsi lain seperti berikut :

a.   Melaksanakan MQF sebagai titik rujukan Kelayakan di Malaysia; 

b.   Membangunkan kriteria dan standard sebagai rujukan kebangsaan bagi penganugerahan kelayakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan; 

c.   Menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi dan program-program; 

d.   Memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan; 

e.   Memudah cara pengiktirafan dan penyetaraan kelayakan; dan 

f.   Mengendalikan Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR)

Program yang telah mendapat Akreditasi LAN yang masih dalam tempoh sah laku akan didaftarkan di dalam portal MQR. Tetapi apabila program tersebut telah tamat tempoh sah laku, ia perlu melalui penilaian MQA bagi tujuan Akreditasi.

MQF adalah deklarasi Malaysia tentang kelayakan-kelayakan tempatan dan kualiti yang dimiliki oleh kelayakan-kelayakan tersebut. MQF merupakan alat yang membangun dan mengklasifikasikan kelayakan berdasarkan satu set kriteria yang dipersetujui kebangsaan dan ditanda aras amalan antarabangsa yang menjelaskan tahap-tahap pembelajaran yang dicapai, hasil pembelajaran bidang pengajian dan sistem kredit yang berasaskan beban pembelajaran pelajar. Kriteria ini diguna pakai bagi semua kelayakan yang dianugerah pemberi pendidikan tinggi yang diiktiraf. MQF menyatupadukan semua kelayakan negara.MQF juga menyediakan laluan-laluan pendidikan yang menghubung kait kelayakan-kelayakan di dalamnya secara sistematik, yang membolehkan individu memajukan diri melalui pemindahan kredit dan pengakreditan pengalaman-pengalaman terkumpul (accreditation of prior experiential learning) dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat.Dalam konteks jaminan kualiti negara, MQF merupakan ’perlembagaan’ pengajian tinggi yang mana prinsip-prinsip umumnya harus dipatuhi oleh setiap program dan kelayakan yang ditawar dan dianugerah oleh pemberi pendidikan tinggi. Prinsip-prinsip umum MQF meliputi definisi kelayakan, sektor penganugerahan kelayakan, tahap kelayakan, hasil pembelajaran, kredit dan beban pembelajaran, profil dan laluan pendidikan tinggi bagi kemajuan indidvidu.

Pencapaian pelajar diukur oleh hasil pembelajaran. Hasil pembelajaran ini menetapkan kompetensi yang patut diperoleh oleh pelajar apabila selesai mengikuti satu-satu program pengajian. Ciri-ciri ini terkandung dalam lapan domain hasil pembelajaran iaitu;a. Pengetahuan ilmu bidang;b. Kemahiran praktikal;c. Kemahiran dan tanggungjawab sosial;d. Nilai, sikap dan profesionalisme;e. Kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan; f. Kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran saintifik; g. Kemahiran pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat; dan h. Kemahiran mengurus dan keusahawanan.Pencapaian hasil pembelajaran ini pula akan diukur menggunakan pengiraan sistem kredit yang berasaskan kepada beban sebenar jam pembelajaran pelajar (student learning time) dan tidak lagi berasaskan jam kontak antara pensyarah dan pelajar.
Student Learning Time (SLT) bermaksud beban sebenar jam pembelajaran pelajar yang mengambil kira semua aktiviti pembelajaran termasuk persediaan material di perpustakaan dan pencarian sumber maklumat di internet. SLT diambil kira bukannya berasaskan kepada jam kontak antara pensyarah dan pelajar semata-mata.
Selain berpandukan kepada MQF, MQA juga telah membangunkan Kod Amalan Program Akreditasi dan Kod Amalan Audit Institusi. Kod-kod amalan ini menetapkan sembilan (9) aspek utama yang dijamin oleh MQA iaitu :a. Visi, misi dan hasil pembelajaran b. Rekabentuk program dan penyampaian c. Kepilihan dan sistem sokongan pelajar d. Penilaian pelajar e. Staf akademik f. Sumber pendidikan/kemudahan pengajaran dan pembelajaran g. Penilaian program h. Kepimpinan, governan dan pentadbiran i. Penambahbaikan kualiti berterusan
Kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi bagi membolehkan IPT mengendalikan sesuatu program pengajian. Kelulusan wajib diperoleh sebelum IPT dibenarkan mengendalikan program pengajian. Walau bagaimanapun, kelulusan ini tidak bermaksud satu-satu program itu telah diakredit oleh MQA atau telah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Akreditasi Provisional bermaksud fasa awal penilaian sesuatu program yang menuju kepada Akreditasi (Penuh). Ia bertujuan untuk membantu dan mempermudahkan IPT mendapat Akreditasi bagi program yang telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan syarat ia meningkatkan kualiti dan standard yang dinyatakan.
Akreditasi merupakan satu perakuan rasmi kepada IPT bahawa sijil, diploma atau ijazah yang akan dianugerahkan kepada graduan adalah selaras dengan standard yang ditetapkan oleh MQA.
Akreditasi merupakan pengesahan pencapaian kualiti dalam penilaian jaminan kualiti yang dilaksanakan oleh MQA. Ia merupakan jaminan MQA kepada pelbagai pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan tinggi termasuk para pelajar, ibu bapa, majikan dan lain-lain bahawa program pengajian yang diakredit oleh MQA merupakan program berkualiti. Ia juga merupakan platform atau asas kepada pihak-pihak lain untuk mengiktiraf program dan kelayakan tersebut bagi tujuan-tujuan yang berlainan.Pengikitirafan pula bermaksud penerimaan satu-satu kelayakan oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan tertentu. Sebagai contoh, pengiktirafan kerajaan melalui JPA adalah syarat untuk dipertimbangkan berkhidmat di sektor awam. Sebagai makluman, JPA hanya akan mengiktiraf program pengajian yang telah mendapat akreditasi MQA bagi maksud berkhidmat dengan kerajaan.
Program pengajian IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti turut diakredit oleh MQA. Walau bagaimanapun, semua program berkenaan yang telah mendapat pengiktirafan JPA sebelum MQA ditubuhkan akan didaftarkan terus ke dalam MQR. (Pengemaskinian maklumat program IPTA sentiasa dibuat dari semasa ke semasa). Manakala bagi program baru yang hendak dikendalikan, ia akan tertakluk kepada proses jaminan kualiti yang ditetapkan oleh MQA.
Tidak. Pengiktirafan kerajaan Malaysia ke atas IPT luar negara adalah di bawah bidang kuasa JPA.Buat masa ini MQA hanya melaksanakan jaminan kualiti ke atas program dari institusi tempatan. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat permohonan dari institusi luar negara untuk mendapatkan akreditasi MQA, ia akan dipertimbangkan.
Akreditasi program di bawah MQA tiada tempoh sah laku tetapi pihak MQA akan menjalankan proses pemantauan di institusi berkenaan untuk memastikan kualiti program-program tersebut terus dipertingkat.
Semakan senarai program yang telah diakredit MQA boleh dibuat dengan melayari portal MQR. Terdapat pelbagai cara untuk mencari maklumat yang dikehendaki seperti panduan berikut:a. Layari Laman Sesawang MQA di alamat http://www.mqa.gov.my --> klik pada butang MQR di bahagian perkhidmatan dalam talian; atau b. Layari http://www.mqa.gov.my/mqr/index.htm. Kemudian rujuk kepada tajuk Panduan dalam portal MQR.Semakan boleh dibuat melalui pelbagai kata kunci (keyword) contohnya nama kelayakan, nama IPT, bidang pengajian dan sebagainya.
MQR merupakan sumber rujukan dan panduan berkaitan program pendidikan tinggi yang menyenaraikan semua kelayakan yang telah diakreditkan dan dianugerahkan oleh Pemberi Pendidikan Tinggi sama ada dari dalam dalam dan luar negara. Program atau kelayakan ini hendaklah selaras dengan Kerangka Kelayakan Malaysia.MQR diwujudkan bertujuan :a. Menyediakan maklumat mengenai semua kelayakan berdasarkan program yang telah diakredit;b. Membolehkan semua pihak berkepentingan mengetahui, memahami serta membuat perbandingan mengenai ciri-ciri sesuatu kelayakan dan hubungkaitnya dengan kelayakan yang lain; dan c. Memudahkan proses pemindahan kredit. Maklumat yang terkandung dalam MQR adalah seperti berikut:a. Nama dan alamat IPT; b. Nombor rujukan kelayakan;c. Nama kelayakan; d. Bidang kelayakan; e. Tempoh sahlaku; f. Tahap kelayakan; g. Tempoh pengajian; dan h. Jam kredit bergraduat.Maklumat tambahan seperti penyataan hasil pembelajaran program, syarat kelayakan masuk dan sebagainya akan dimasukkan dari semasa ke semasa.Maklumat dalam MQR juga boleh digunakan untuk mengeluarkan perakuan atau pernyataan yang jelas tentang sesuatu kelayakan yang telah didaftarkan. Pihak yang berkepentingan termasuk masyarakat umum boleh merujuk kepada MQR untuk mendapatkan pengesahan mengenai status sesuatu kelayakan. Cabutan daripada Daftar Kelayakan ini boleh dikeluarkan tertakluk kepada permintaan pihak berkenaan.
Antara kelebihan program atau kursus yang didaftar dalam MQR adalah seperti berikut:a. Memudahkan pelajar mendapat bantuan kewangan antaranya seperti layak dipertimbangkan untukmendapat pinjaman daripada agensi pembiayaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN)b. Memudahkan pemindahan kredit tertakluk kepada syarat-syarat dan keputusan muktamad institusi terbabit.c. Membolehkan pelajar melanjutkan pengajian di institusi tempatan atau luar negara d. Pelajar layak dipertimbangkan untuk menjawat jawatan awam. Selain itu, majikan sektor swasta turutmenekankan program yang telah mendapat akreditasi dalam membuat pengambilan pekerja merekae. Institusi boleh memfrancais program yang diakredit kepada institusi lain, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu
Pihak IPT boleh menggunakan logo MQA bagi program pengajian yang telah mendapat akreditasi dengan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
 

(Sumber: Agensi Kelayakan Malaysia)

Hubungi Kami

Pusat Kualiti Universiti (PKUSM), Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang, Malaysia.
Tel : +604-653 6571 / 6572   |   Faks : +604-653 6574   |   Emel : ahmadhaj@usm.my

usma1a6a8a4a3a2a5expert